Penganggur dituduh bunuh ibu saudara

IPOH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini di atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya di Kampung Cina, Menglembu pada 9 Nov lalu.

Tertuduh, Aw Kim Wah, 40, mengangguk sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa telah membunuh Aw Foong Meng, 73, di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu antara 11 pagi hingga 3.25 petang pada 9 Nov lepas.

Tertuduh yang memakai baju biru dengan seluar jeans didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher, dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher mangsa.-Bernama