Pengaplikasian perubatan sukan penting untuk atlet e-sukan: Pakar

KUALA LUMPUR: Seperti sukan lain, atlet e-sukan berstatus profesional dan elit perlu cakna mengenai pengaplikasian perubatan sukan bagi menjamin perkembangan prestasi dan karier yang lebih stabil.

Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Zul Azlin Razali berkata atlet e-sukan perlu sentiasa membuat pengurusan stres yang ‘adaptive’ iaitu menyesuaikan diri berhadapan dengan masalah dan menyelesaikannya secara normal.

Beliau berkata atlet juga perlu fokus kepada matlamat utama untuk menjadi seorang atlet yang profesional sekali gus dapat mengelak daripada timbulnya masalah berkaitan kesihatan mental.

“Apabila seorang atlet mempunyai matlamat serius, mereka akan matang dan tahu cara untuk menguruskan masa latihan, pemakanan, tidur mencukupi, melakukan senaman fizikal dan gaya hidup sihat demi menjaga diri.

“Jadi langkah-langkah ini membantu mengurangkan tekanan, mungkin mereka (juga) boleh lakukan senaman kardio kerana ia juga membantu mengurangkan stres dan membantu atlet untuk lebih fokus,” katanya pada webinar Aplikasi Perubatan Sukan dalam e-sukan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Dr Zul Azlin berkata atlet juga perlu bersabar mengikuti proses perkembangan prestasi diri dan tidak terlalu memaksa diri dengan cubaan mengambil dadah sebagai rangsangan atau penambah tenaga bagi menjalani latihan lebih masa.

Beliau juga mengesyorkan atlet supaya tidak malu merujuk doktor psikiatri dan ahli psikologi sekiranya berdepan dengan tekanan melampau.

“Bagi rawatan psikiatri ini masih banyak tanggapan bila kita berjumpa pakar psikiatri, kita dianggap gila dan malu. Kita perlu membuang stigma masyarakat kerana itu merupakan spiritual yang agak terpesong dan memudaratkan diri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zul Azlin turut berkongsi empat masalah yang popular dalam kalangan atlet e-sukan iaitu gangguan permainan video, gangguan keresahan, kemurungan dan lesu upaya yang membawa kepada penyalahgunaan dadah. – Bernama