Pengunjung berpeluang ‘terbangkan’ pesawat ATM di Jelajah AKM Pahang

KUANTAN: Pengunjung program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang berpeluang merasai sendiri pengalaman ‘menerbangkan’ pesawat pejuang milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Pertahanan Kementerian Pertahanan Fazidah Mustafa berkata ia merupakan antara tarikan yang disediakan dalam memberi kelainan kepada pengunjung AKM dan berharap para peminat aset pasukan keselamatan itu tidak melepaskan peluang untuk mencubanya.

“Ada simulator yang pengunjung boleh cuba sendiri dan akan rasa macam kita terbangkan dan turunkan pesawat pejuang, itu antara tarikan untuk orang ramai yang nak cuba dan boleh lebih mendalami kerjaya sebagai tentera,“ katanya kepada Bernama.

AKM Pahang yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam diterajui Kementerian Pertahanan dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara’ dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Mengulas lanjut, Fazidah berkata terdapat pameran kerjaya bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu udara, darat dan laut selain pendaftaran askar wataniah.

Beliau berkata warga Pahang, khususnya penduduk Kuantan, juga berpeluang melihat lebih dekat pameran aset ATM seperti kenderaan berperisai 8×8 GEMPITA, Command Rover GK Mk-1, 7 tan Radar Skyguard dan VAMTAC pembawa senjata IGLA SLU.

Turut dipamerkan helikopter Agusta 109 LOH, helikopter tempur ringan MD530G, kenderaan berperisai LIPAN BARA, meriam 105mm, meriam 155mm, kenderaan High Mobility Tactical Vehicle (HMTV) dan kenderaan berperisai ACV ADNAN.

Fazidah berkata lebih menarik, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menonjolkan peralatan menyelam Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan senjata canggih selain replika pesawat serta Sekolah Latihan Tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kita juga ada persembahan gabungan iaitu ‘bagpipe’ dan tambor oleh ATM, kawad senyap oleh TLDM dan drumline oleh TUDM yang diadakan secara berjadual sepanjang AKM berlangsung,” katanya.

AKM Pahang juga berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dari 9 pagi hingga 9 malam dengan pelbagai program antaranya pameran usahawan industri kecil dan sederhana selain jualan barangan harian serta keperluan asas yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran. –Bernama