Perak cadang sedia mesin layan diri sanitari di sekolah rendah

IPOH: Perak bercadang menempatkan mesin layan diri sanitari di sekolah rendah sebagai antara lokasi strategik dalam langkah menangani isu kemiskinan haid dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan wanita daripada golongan keluarga B40 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Salbiah Mohamed berkata mesin layan diri itu ditempatkan berdasarkan keperluan memandangkan kini kanak-kanak mengalami kedatangan haid awal iaitu ketika di peringkat sekolah rendah.

“Mungkin ada keperluan untuk wujudkan mesin ini terutama di sekolah rendah, namun (tidak pasti) adakah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sediakan perkara (tuala wanita) itu. Dahulu kedatangan haid ini rata-rata di fasa umur sekolah menengah jadi kita tidak beri pendedahan kepada murid sekolah rendah, tetapi apabila saya tanya dekat pelajar kebanyakannya sudah mula datang haid seawal di sekolah rendah.

“Selain itu, ada tempat yang sukar untuk kita dapatkan tuala wanita seperti di kawasan rehat dan rawat, bahkan Menteri Kesihatan ada membincangkan bagaimana mahu meletakkannya di pejabat, jadi kita akan lihat mana-mana tempat bersesuaian. Saya juga alu-alukan agensi bukan kerajaan yang ingin melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kit asas sanitasi wanita kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan pada Program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) Negeri Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Salbiah berkata kerajaan negeri menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) dua hari lepas bagi membentangkan kertas cadangan dalam mengurangkan kos bahan mentah, iaitu dengan mewujudkan Hari Pembekal yang menawarkan harga berpatutan kepada pembeli.

“Kerajaan negeri ada inisiatif untuk menggalakkan usahawan melakukan program Menu Rahmah, jadi melalui cadangan tersebut kita mahu pastikan pembekal mengenalkan harga berpatutan.

“Selain itu, saya turut memohon kementerian yang terlibat meneruskan Jualan Harga Patut. Jika peniaga dapat membeli bahan mentah dengan kos yang rendah mereka dapat menjual barangan makanan pada harga murah,” katanya.

Dilapor pada 31 Jan lepas, inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. – Bernama