Peranti program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diagih mulai Jun

CYBERJAYA: Peranti bagi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan mula diagihkan Jun ini dijamin berkualiti tinggi dari jenama terkenal, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa(gambar).

Beliau berkata peranti itu juga dijamin sesuai untuk kegunaan mahasiswa dan telah diperakukan oleh beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Teknikal ICT.

“Peranti ini juga telah melalui proses uji suai. Ada beberapa peranti dengan spesifikasi tertentu telah diberi untuk digunakan oleh sekumpulan pelajar untuk kita dapatkan maklum balas.

“Saya jangkakan peranti yang dipilih adalah daripada jenama premium yang berada dalam pasaran,” katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranti dan akses internet pada kos yang berpatutan.

Ia bagi membantu pelajar IPT menjalankan aktiviti pembelajaran secara dalam talian, melayari Internet untuk tujuan penyelidikan dan penghantaran mesej kepada keluarga dan rakan-rakan.

Sabtu lepas, Annuar memaklumkan permohonan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi pelajar IPT daripada golongan B40 dibuka mulai esok (15 April). Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my mulai 8 pagi.

Annuar berkata program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa daripada keluarga B40 yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Saya harap mahasiswa yang memohon adalah yang benar-benar memerlukan peranti untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

Annuar berkata program PerantiSiswa itu menggunakan Konsep Guna Pakai selama tempoh pengajian untuk mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain.

“Kita guna kaedah ini sebab jika peranti rosak ia akan akan diuruskan oleh unit yang telah dikhaskan iaitu Unit Pengurusan Peranti Siswa Keluarga Malaysia, Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM),” katanya.

Annuar turut berhasrat memperluaskan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar di Kementerian Pendidikan seperti Institusi Pendidikan Guru.

Turut hadir pada majlis prapelancaran itu adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha (KSU) K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan KSU Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.-Bernama