Perbezaan kaum, budaya tidak wajar jadi garis pemisah rakyat

BAGAN DATUK: Perbezaan kaum dan budaya tidak wajar menyebabkan garis pemisah antara rakyat di negara ini kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya beliau berkata perbezaan kaum dan budaya itu perlu menjadi elemen penting dalam penyatuan rakyat.

“Masyarakat perlu menerima hakikat bahawa Malaysia mempunyai pelbagai kaum.

“Di bawah Kerajaan Perpaduan ini kita mahu menyantuni semua kaum, bangsa dan budaya, kerana dalam keadaan inilah kita dapat meraikan kepelbagaian dalam satu kesatuan bangsa Malaysia yang harus diwujudkan.

“Semangat perpaduan harus terjalin melalui persefahaman silang budaya,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Gong Xi Fa Cai di Hutan Melintang di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata semua bangsa perlu memahami budaya, agama dan bahasa yang berbeza agar melahirkan masyarakat yang bersatu padu. – Bernama