Peruntukan geran khas kepada Sabah Sarawak harus dikaji, pastikan kenaikan munasabah: PM

PUTRAJAYA: Jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata Kerajaan Persekutuan akan memastikan terdapat peningkatan jumlah munasabah terhadap geran berkenaan, dan ia adalah berbeza dengan pemberian geran mengikut bilangan penduduk (capitation grant) atau geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ada peruntukan khas 112D yang menetapkan peruntukan munasabah kepada Sarawak dan Sabah yang mula diberi RM16 juta dan RM26 juta, dan harus dikaji setiap lima tahun, tetapi hal ini tidak berlaku,“ katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan menghidupkan semakan jumlah geran itu dan berharap ia dapat dimuktamadkan dalam pertemuan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Kuching akhir bulan ini.

Selain itu, Anwar berkata Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

“Walaupun ada Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak, tetapi banyak kata putus dibuat di Putrajaya, dan walaupun peruntukan besar diberikan tetapi tidak dapat dipenuhi kerana karenah pentadbiran serta mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan,“ katanya.

Perdana Menteri berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.

Menjelas lanjut, Anwar berkata Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan diteruskan untuk memastikan pelbagai isu tertangguh berkaitan MA63 dapat dilaksanakan dengan baik.

Mengenai pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Anwar berkata kemajuan projek itu di Sarawak adalah lebih baik berbanding di Sabah, seterusnya memerlukan peruntukan tambahan yang akan diperincikan oleh Fadillah serta Kementerian Kerja Raya.

Pada masa sama, katanya Dewan Undangan Negeri Sabah akan memuktamadkan mengenai keputusan kerajaan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di negeri berkenaan setelah ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lepas.-Bernama