Pihak berkuasa perlu menyediakan pelan tindakan mitigasi banjir yang holistik

PETALING JAYA: Tiba masanya pihak berkuasa menyediakan satu pelan tindakan mitigasi yang holistik, berikutan kejadian bencana banjir yang berlaku di Selangor, Pahang dan Kedah.

Menurut Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia, Zakaria Abdul Hamid, perancangan pembangunan secara lebih teliti akan berupaya untuk memastikan sesuatu kawasan itu tidak terlalu padat, sehingga boleh menyebabkan banyak fasiliti yang disediakan bagi tujuan saliran tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Bagi kawasan luar bandar pula, antara faktor utama yang perlu diteliti oleh pihak berkuasa adalah masalah kemusnahan hutan (deforestation) yang berlaku secara besar-besaran disebabkan oleh pembangunan pertanian dan juga pembalakan.

“Adalah penting untuk kita menyemak semula dasar berkenaan penggunaan dan pengambilan hasil hutan, kerana ia akan mendatangkan masalah terhadap tanah dikawasan tersebut, sekaligus menyebabkan bencana alam, seperti banjir untuk berlaku dengan lebih kerap. Bagi kawasan-kawasan yang telah diteroka, kerja-kerja penanaman pokok dan tanaman tutupbumi perlu dipertingkatkan,“ kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagi mengelakkan kejadian banjir berlaku di kawasan bandar, Zakaria berpendapat, pihak berwajib segera memainkan peranan yang lebih proaktif, terutamanya dalam menguruskan fasiliti perparitan dan saliran air, terutamanya di kawasan-kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

“Kerajaan disaran menyediakan peruntukan tambahan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerjakerja pembersihan sistem saliran dan mendalamkan sungai-sungai yang terkesan akibat hakisan,“ tambahnya.