PM doakan Keluarga Malaysia selamat sampai ke kampung halaman

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendoakan Keluarga Malaysia selamat sampai ke kampung halaman dan tempat mengundi masing-masing, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri mahu seluruh ahli Keluarga Malaysia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Esok kita dah mengundi. Buat warga perantau, pulanglah untuk menunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi.

“Saya doakan semua selamat sampai ke kampung halaman, tempat mengundi masing-masing dan kembali ke tempat kerja dengan selamat serta sempurna,” katanya.

Beliau juga menyeru Keluarga Malaysia untuk memilih Barisan Nasional (BN) demi kestabilan dan kemakmuran negara.

“Pilihlah BN. Demi kestabilan dan kemakmuran negara yang kita cintai,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri ketika menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32, Bera berharap proses pengundian PRU15 esok, berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini.

PRU kali ini menyaksikan jumlah pengundi semakin ramai iaitu 21.1 juta pengundi berbanding 14.9 juta pada PRU14.-Bernama