PM nafi wujud desakan campur tangan kes mahkamah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) hari ini menafikan terdapat desakan untuk beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

“Tiada…tiada,“ katanya ketika ditanya laporan sebuah media yang mengatakan ada perjumpaan khas melibatkan ketua-ketua bahagian Umno semalam, yang gagal mencapai kata sepakat bagi mendesak beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang ditemui media selepas berucap pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini turut ditanya mengenai ‘perjumpaan’ di Seri Perdana.

Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden Umno berkata dalam perjumpaan itu, beliau diberikan taklimat mengenai status gerak kerja parti seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi kenyataan di Perak.

“Timbalan Presiden sebut mengenai mesyuarat Umno bahagian, persediaan parti ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan mengukuhkan parti,“ katanya.

Mengenai laporan desakan ketua-ketua bahagian Umno meminta PRU15 diadakan segera, Ismail Sabri berkata beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak hadir pada pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur semalam.

Laporan media memetik Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai berkata majoriti ketua bahagian Umno bersetuju supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.-Bernama