PN bentuk kerajaan baharu Perlis, tawan 14 daripada 15 kerusi DUN

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah di Perlis dengan membentuk kerajaan negeri baharu selepas menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kemenangan majoriti dua pertiga itu menyaksikan PN menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang menguasai negeri itu sejak awal kemerdekaan lagi.

BN juga gagal memenangi sebarang kerusi negeri, yang merupakan rekod terburuk gabungan itu, berbanding 10 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Kejutan berlaku di DUN Bintong apabila Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kecundang di tangan calon PN Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi.

Dalam persaingan enam penjuru itu, Azlan memperoleh sebanyak 2,996 undi manakala Fakhrul mendapat 7,325 undi.

Selain itu, calon Pakatan Harapan (PH) Gan Ay Lin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan dengan majoriti 1,873 undi selepas mengalahkan calon BN Pramoot a/l Puan dan calon PN Atan Jasin.

Sementara itu, calon PN kerusi Parlimen Arau Datuk Shahidan Kassim, yang menjadi ‘Panglima Perang’ bagi gabungan tersebut, mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 23,216 undi apabila menewaskan calon PH-PKR Fathin Amelina Fazlie dan calon BN Datuk Rozabil Abdul Rahman. – Bernama