PN menang kerusi Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi

KULIM: Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi Parlimen Padang Serai yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan itu yang berlangsung hari ini.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah(gambar) kira-kira pukul 10.55 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Calon PH Dr Mohamad Sofee Razak memperoleh jumlah undi kedua tertinggi iaitu 35,377 diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).

Sivaraj dan Mohd Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan dan menyokong calon PH Mohamad Sofee, namun berdasarkan peraturan pilihan raya nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan mereka telah disahkan.

– Lagi