PN tegaskan tidak akan bekerjasama dengan PH: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

Bercakap pada sidang media di Bukit Damansara di sini Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata Seri Paduka Baginda telah mencadangkan agar PN bekerjasama dengan PH, namun PN tetap dengan pendiriannya untuk menolak kerjasama berkenaan.

“Tuanku mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH, untuk bentuk ‘unity government’, tetapi kami telah berbincang sejak awal lagi, kami tidak akan bekerjasama dengan PH.

“Itu pendirian parti kita sejak dulu lagi.. atas tujuan apa sekalipun, unity ke, apa.. semua sekali kita tetap tidak bersetuju,” katanya.

Terdahulu, beliau dan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hampir sejam.

Muhyiddin berkata beliau juga telah menandatangani ruang ‘tidak setuju’ yang tertera atas dokumen yang berkaitan dengan penubuhan kerajaan.

“Jadi saya diminta untuk menandatangani dokumen yang minta kalau kami bersetuju, saya tandatangan tapi (saya) jawab atas (ruang) tidak bersetuju,” kata Muhyiddin.

Sementara itu Muhyiddin mendakwa PN telah menghantar 115 Surat Akuan Bersumpah Ahli Parlimen secara dalam talian untuk membentuk kerajaan baharu kepada Istana Negara semalam.

Katanya beliau juga telah menerima dokumen pengesahan daripada Setiausaha Sulit Al-Sultan Abdullah, Kol Datuk Nazim Mohd Alim bahawa dokumen (surat akuan) telah diterima.

“Jadi sebab itu kami yakin kami sewajarnya boleh bentuk kerajaan, tapi maklumlah, bila saya menghadap tadi, dikatakan ia tidak mencukupi, jadi saya tidak tahu apa sebab-sebab sebaliknya, tapi buktinya di sini,” katanya sambil menunjukkan sebuah fail warna jernih yang mengandungi kesemua dokumen berkenaan.

Kemelut politik negara pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 memasuki hari ketiga hari ini selepas keputusan pilihan raya menunjukkan tiada mana-mana parti politik meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – Bernama