Polis buka kertas siasatan berhubung insiden wanita dipukul

PUTRAJAYA: Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera berhubung insiden pertengkaran dan pergelutan antara seorang wanita dan bekas teman lelakinya di Taman Equestrian, Presint 5 di sini pada 26 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah menerima satu laporan pada 27 Mac lepas daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang menyatakan telah berlaku pertengkaran dan pergelutan antaranya dan bekas teman lelakinya yang telah beristeri.

“Siasatan lanjut diteruskan dengan mengambil keterangan saksi-saksi terlibat dan mendapatkan laporan perubatan untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan tular hantaran mendakwa polis tidak mengambil tindakan berkaitan laporan kes pukul terhadap seorang wanita.

Dalam insiden kira-kira 11.40 malam itu, dikatakan berlaku perselisihan faham antara pengadu yang bekerja sebagai pembantu padang di Taman Equestrian tersebut dengan bekas teman lelakinya yang merupakan seorang jurulatih kuda selain wanita itu mendakwa bekas teman lelakinya telah memperlakukan perkara kasar terhadapnya.

A. Asmadi dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.-Bernama