Polis buka kertas siasatan berhubung perhimpunan #Turun

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan #Turun di hadapan Pusat Beli-belah Sogo di sini, hari ini, mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata setakat ini 30 individu telah dikenal pasti dan kesemua yang terlibat dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Menurut Noor Dellhan, dalam kejadian itu, kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu telah berhimpun sambil memegang plakad dan gegantung bertulis “potong gaji menteri”, “turun dan lawan” dan lain-lain.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula berkumpul di pekarangan Sogo sejak pukul 1.40 tengah hari dan bersurai kira-kira pukul 3 petang dengan tiada kejadian tidak diingini berlaku.-Bernama