Polis buka kertas siasatan perhimpunan di ibu negara pagi tadi

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan dan perarakan yang berlangsung di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata perarakan berkenaan melibatkan 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi manusia, mahasiswa dan ahli parti politik.

“Pada 10 pagi tadi, dikesan satu perhimpunan serta perarakan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di ibu negara.

“Hasil pemerhatian polis, peserta diadapati berhimpun dan berarak sambil memegang plakad di antaranya tertulis ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rapes As With Periods, Child Not Pride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body’ dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Noor Dellhan berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

Beliau berkata polis sedang mengenal pasti kesemua individu terlibat dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang terlibat. – Bernama