Polis kesan Farid Afizi bantu siasatan kes pukul

KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul seorang individu sehingga cedera parah di Jalan Budiman, Cheras, 20 April lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata lelaki itu ialah Farid Afizi Jaafar, 42, beralamat terakhir di 304, Blok 1, Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak, Cheras.

Beliau berkata pada pukul 10.15 malam, 20 April lepas Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini telah menerima seorang lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa mengalami pendarahan di bahagian otak, tengkorak kepala retak di bahagian belakang dan tulang leher patah serta masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zam Halim video kejadian itu yang berlaku di tepi Jalan Budiman, Cheras, tular menerusi laman sosial pagi tadi.

Beliau sehubungan itu, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Farid Afizi supaya menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – Bernama