Polis kesan penipuan tawaran kerja sambilan guna nama Syarikat Nexea

KUALA LUMPUR: Polis mengesan taktik penipuan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nama Syarikat Nexea yang membabitkan kerugian RM69,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Mohd Kamarudin Md Din (gambar) berkata, sebanyak empat laporan telah dibuat berkaitan sindiket yang menawarkan kerja memproses pesanan melalui platform aplikasi itu dengan upah yang lumayan sekitar RM300 sehingga RM500 sehari.

Beliau berkata siasatan mendapati pelabur yang berminat diminta memindahkan sejumlah wang kepada syarikat iaitu sindiket melalui akaun yang sebenarnya dimiliki oleh individu persendirian, dipercayai keldai akaun.

“Pada peringkat awal, pelabur (mangsa) akan menerima keuntungan yang dijanjikan tetapi syarikat (sindiket) akan memutuskan hubungan dengan pelabur selepas menerima wang pelaburan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata siasatan mendapati Syarikat Nexea tidak pernah membuat tawaran kerja seperti itu.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk membuat semakan berkaitan syarikat berkenaan sebelum memohon atau menerima tawaran kerja terutamanya yang meminta melakukan pemindahan wang ke akaun individu persendirian.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghubungi “Commercial Crime Investigation Department Scam Response Centre” melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599.