Polis kesan suspek kes tipu tempahan makanan dalam talian

IPOH: Polis sedang mengesan suspek kes penipuan tempahan makanan secara dalam talian di sebuah restoran di Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik restoran berusia 35 tahun di Balai Polis Jelapang semalam.

“Pada kira-kira pukul 6.20 petang hari kejadian, pengadu lelaki itu menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali membuat pesanan makanan berharga RM25 dan meminta individu berkenaan membuat pesanan secara dalam talian.

“Setelah pesanan dibuat, individu berkenaan menyatakan telah membuat transaksi bayaran dalam talian ke akaun restoran pengadu sebanyak RM50 dan menyatakan seorang ‘runner’ akan datang mengambil pesanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Yahaya berkata suspek meminta pengadu memulangkan baki berjumlah RM25 kepada runner tersebut secara tunai, namun pengadu memaklumkan akan menyerahkan baki secara dalam talian, sebelum mendapati tiada transaksi bayaran diterima.

Kejadian tersebut tular di laman Twitter apabila restoran itu memuat naik rakaman kamera litar tertutup menunjukkan wajah lelaki yang mengambil pesanan pasta dan mendakwa menerima resit bayaran secara dalam talian yang palsu.

Beberapa peniaga di kawasan sekitar turut meninggalkan komen mendakwa pernah terpedaya dengan taktik yang sama.-Bernama