Polis nafi video tular CIQ BSI sesak rakyat M’sia pulang mengundi

JOHOR BAHRU: Polis menafikan berlaku kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, yang didakwa berikutan rakyat Malaysia pulang untuk mengundi seperti video yang tular menerusi media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata tular sebuah video berdurasi 17 saat memaparkan kesesakan di CIQ BSI namun hasil siasatan mendapati ia merupakan sebuah video lama.

“Rakaman tersebut dipercayai adalah video lama yang dimainkan semula dan tidak benar ia berlaku seperti yang didakwa, bahawa ia tercetus ekoran daripada rakyat Malaysia pulang untuk mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika ini keadaan kemasukan pengembara di CIQ BSI adalah pada kadar biasa iaitu tidak melebihi 2,000 orang pada satu-satu masa dan tiada pertambahan mendadak.

Sehubungan itu, Raub menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara yang tidak benar sekali gus menimbulkan kegusaran.-Bernama