Polis serbu tiga premis lakukan sambungan elektrik haram untuk bitcoin

SEREMBAN: Polis menyerbu tiga premis di sekitar Nilai dekat sini yang disyaki membuat sambungan haram bekalan elektrik dan menjalankan aktiviti perlombongan mesin bitcoin sejak tiga bulan lepas membabitkan kerugian RM172,394.53.

Ketua Polis Daerah NIlai Supt Abdul Malik Hasim berkata dalam serbuan hampir tiga jam bermula pukul 9 malam, semalam, polis merampas 101 mesin bitcoin, dua unit modem, dua unit router dan sebuah unit pemprosesan pusat (CPU).

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini dan sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, diminta hadir ke balai polis terdekat atau hubungi talian 06-7904222 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Abdul Malik berkata polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook dengan nama ‘Agnes Cheong’ kerana disyaki membuat hantaran berbaur menghina agama selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada kira-kira 6 petang, semalam.

Beliau berkata wanita itu mendakwa ketika dia sedang melayari Facebook pada November lepas, didapati terdapat satu hantaran daripada Agnes Cheong yang menulis perkataan dan memuat naik gambar yang menyentuh isu sensitif seperti agama, perkauman dan kerabat diraja.

“Pemilik akaun tersebut membuat satu lagi hantaran pada 1 Dis lepas yang menampilkan gambar seekor anjing sedang memakai tudung serta menggambarkan anjing tersebut sebagai seorang Melayu,” katanya.

“Hasil siasatan mendapati hantaran itu telah dipadamkan. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat hantaran di media sosial yang menimbulkan kegusaran awam,” katanya. – Bernama