Polis siasat video tular anggota trafik kasari lelaki

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung kejadian seorang anggota trafik mengasari seorang lelaki di sekatan jalan raya (SJR), di Bukit Mertajam dekat sini, yang videonya tular di media sosial semalam.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain(gambar) mengesahkan kejadian berlaku pada pukul 1.15 pagi semalam ketika SJR Ops Selamat 18 dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

“Semalam kira-kira pukul 3.30 petang, pihak polis telah mengesan satu rakaman video dashcam berdurasi 31 saat dimuat naik dalam Facebok oleh pemilik akaun Penang My Hometown, memaparkan seorang anggota trafik yang sedang bertugas di SJR mengasari seorang pesalah trafik.

“Dalam kes ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat satu laporan polis bagi menjalankan siasatan lanjut dan membuka KEP. Kami juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook berkenaan bagi melengkapkan siasatan,“ katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengesan lelaki yang dikasari dan setakat ini lelaki berkenaan masih belum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Menurutnya sehingga siasatan selesai, kesemua pegawai dan anggota trafik yang terlibat dalam operasi di SJR itu dilucutkan sementara daripada tugas hakiki serta ditempatkan di bahagian petadbiran, selain pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dalam memberikan keadilan kepada semua pihak.

Sementara itu merujuk kepada siasatan kes anggota trafik mengiringi kenderaan yang dipandu seorang lelaki, Mohd Shuhaily berkata tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan PDRM Bukit Aman atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan dua anggota trafik menggunakan motosikal PDRM bagi mengiringi kenderaan itu di Jalan Bukit Gambir, dekat sini, dua hari lepas.

Katanya dua anggota polis trafik itu telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes itu selesai sepenuhnya.

“Kami telah hubungi pemandu kereta itu untuk direkodkan keterangan dan lelaki itu berkata dia akan memberi kerjasama, polis akan siasat sama ada tindakannya (pemandu kereta merakam video dan memuat naik) mempunyai elemen cuba menjatuhkan maruah dan imej polis,” katanya.

Menerusi rakaman video itu yang dimuat naik di Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan juga mendapat kecaman warga net yang tidak berpuas hati dengan tindakan individu menggunakan khidmat polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.-Bernama