Polis tahan 15 lelaki disyaki terlibat samun, pecah kedai

SEREMBAN: Polis menahan 15 lelaki disyaki terlibat kejadian samun dan memecah masuk kedai di sekitar Nilai, dekat sini dan Kajang, Selangor dalam operasi selama sembilan hari sejak 26 Jan lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kesemua yang berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu ditahan menerusi ‘Op Tajam Mantin’ dan dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar Mantin sejak pertengahan tahun lepas.

Beliau berkata kumpulan berkenaan amat agresif dalam melakukan jenayah samun berkumpulan dengan setiap mereka akan menggunakan parang manakala mangsa kebanyakannya diikat.

“Semua tangkapan mempunyai rekod lampau melibatkan kes samun, pecah rumah, curi kenderaan, pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah.

“Dengan penahanan mereka, polis percaya berjaya menyelesaikan 18 kes disyaki dilakukan kumpulan ini iaitu 13 kes di Negeri Sembilan manakala lima lagi di Selangor membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM231,631.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah, Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal menjelaskan wang dalam akaun. –Bernama