Polis tahan 50 positif, miliki dadah di pusat hiburan

GEORGE TOWN: Polis menahan 50 individu kerana positif dadah dan memiliki bahan terlarang itu dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata 33 lelaki dan 17 wanita itu ditahan dalam operasi yang bermula 3 pagi, hasil maklumat dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah di premis itu yang beroperasi hingga pukul 7 pagi serta merampas 11.83 gram (g) serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 2.87g ketamin, kesemuanya bernilai RM1,020.

Soffian berkata pihaknya turut menahan 11 wanita warga asing dari Vietnam, Thailand dan Indonesia kerana pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selain dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di situ.

“Semasa serbuan itu, pihak polis menghadapi kesukaran untuk masuk ke pusat hiburan itu kerana pintu premis tersebut dikunci dari dalam dipercayai cubaan beberapa pengunjung melarikan diri dari situ.

“Namun usaha mereka ternyata sia-sia apabila kesemua mereka berjaya ditahan oleh pasukan serbuan yang terlebih dahulu mengepung kawasan pusat hiburan berkenaan,“ katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama