Program harmoni pupuk keharmonian, perpaduan rakyat

KUCHING: Penganjuran Program Harmoni yang berlangsung dari 18 Feb lepas hingga hari ini adalah antara inisiatif Kementerian Perpaduan Negara, selari dengan agenda membangun Malaysia MADANI.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata program seumpama itu juga salah satu ikhtiar dalam menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai agama.

“Kita patut meraikan kepelbagaian semua agama dan masyarakat sebagai satu aset negara. Sebagai penganut agama, persefahaman, keharmonian serta toleransi adalah kerjasama semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan minggu keharmonian antara penganut agama sedunia di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Aaron berkata penganjuran program yang bertemakan Malaysia MADANI Dalam Pelbagai Agama itu juga adalah usaha kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya harap agar program kerjasama strategik antara kementerian khususnya penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan agama ini dapat diperluaskan kerana ia memberikan sumbangan kepada kesejahteraan komuniti,” tambahnya. – Bernama