Program JER 2.0 kembali Januari depan dengan lebih banyak pilihan

SHAH ALAM: Program Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0, anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), akan kembali pada pertengahan Januari depan dengan skala yang lebih besar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar).

Katanya, jumlah barangan jualan akan ditambah pada program JER 2.0 dan sehingga sejuta pembeli dapat menikmati manfaat daripada program tersebut.

“Anggaran RM10 juta ke RM15 juta perlu dibelanjakan oleh kerajaan negeri dalam tempoh tiga bulan program tersebut bagi meneruskan usaha mengurangkan bebanan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Program JER, di sini, hari ini.

Beliau berkata Program JER 2.0 bakal bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta turut dibantu Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Jelajah ini merupakan antara usaha kerajaan Selangor mendepani masalah kenaikan harga barang khususnya enam jenis barangan keperluan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak yang dijual dengan harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Jelajah yang merupakan kesinambungan daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan itu berlangsung selama tiga bulan bermula 31 Ogos lalu di seluruh sembilan daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.-Bernama