Program literasi perancangan kewangan dalam kalangan B40 perlu diperhebat: LIAM

KUCHING: Kerajaan perlu memperhebat program dan inisiatif literasi perancangan kewangan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Malaysia supaya mereka sedar mengenai kepentingan insurans dan takaful.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Loh Guat Lan berkata ini kerana kadar penembusan produk insurans dan takaful dalam negara masih lagi rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

“Insurans adalah berpatutan, ia tidak terlalu mewah dan mahal, ia boleh mengikut kemampuan… ini yang LIAM cuba didik golongan ini (B40), memberi maklumat kepada mereka bahawa perancangan kewangan amat penting bagi semua orang.

“Hanya sebahagian daripada mereka memiliki insurans dan takaful, sehubungan itu kerajaan dan LIAM bekerjasama untuk mengeluarkan Baucar Perlindungan Tenang (PTV). Ini bermakna, kerajaan bayar ini kemudian mereka (individu yang layak) tampil kepada kami (agensi insurans) bagi mendapatkan perlindungan insurans,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagi memperluas perlindungan sosial bagi kumpulan berpendapatan rendah, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan program PTV bernilai RM175 juta yang memanfaatkan 8.7 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat.

PTV yang dimulakan dengan nilai RM50 pada tahun lepas telah dinaikkan kepada RM75 tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia meneruskan perlindungan insurans hayat mereka melalui manfaat produk insurans Perlindungan Tenang.

Loh berkata idea inisiatif PTV itu juga bukan sahaja untuk kumpulan berpendapatan rendah malah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan yang merangkumi semua peringkat umur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berharap kerajaan baharu akan meneruskan inisiatif PTV yang disifatkan sebagai bermanfaat kepada rakyat.

“Insurans adalah mengenai konsistensi… anda memerlukannya, anda dilindungi dengan baik. Saya fikir kita perlu terus mendidik sehingga orang ramai benar-benar menyedari kepentingan insurans,” katanya dan menambah LIAM banyak mengadakan siri jelajah di peringkat akar umbi untuk mendidik orang ramai tentang perancangan kewangan.-Bernama