Program tarif elektrik hijau tawar bekalan elektrik mesra alam

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Jan 2022 pengguna domestik dan industri di Semenanjung boleh memilih untuk beralih kepada penggunaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang dijana dari sumber loji jana kuasa solar dan hidro.

Bekalan elektrik bercirikan hijau dan mesra alam itu ditawarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menerusi pelancaran Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan GET, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan(gambar) berkata GET menawarkan 4500 GigaWatt jam tenaga elektrik daripada sumber TBB setahun.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah bersamaan dengan kapasiti yang boleh dibekalkan kepada 600,000 unit rumah untuk tempoh sebulan kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 2022 hingga 2024.

“Bekalan elektrik daripada sumber TBB yang ditawarkan boleh ditambah berdasarkan permintaan. Pelanggan GET akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak 3.7 sen bagi setiap kiloWatt jam TBB yang dibeli melalui program ini,” katanya.

Takiyuddin berkata pengguna yang melanggan GET akan turut mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan eletrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates atau mREC yang berdaftar dengan badan pensijilan antarabangsa.

Katanya langganan GET ditawarkan secara blok iaitu 100 kiloWatt jam satu blok bagi premis kediaman dan 1000 kiloWatt jam bagi premis bukan kediaman.

Menurut Takiyuddin hasil kutipan penjualan GET akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan agenda dan inisiatif pembangunan TBB negara.

Beliau berkata permohonan untuk melanggan bekalan elektrik daripada sumber TBB di bawah program GET akan dibuka mulai 1 Dis depan dan pengguna yang berminat untuk melanggan GET boleh membuat permohonan di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau menghubungi kedai-kedai TNB yang berhampiran.

Takiyuddin berkata penawaran GET merupakan sebahagian daripada sasaran yang ditetapkan untuk dicapai Menteri Tenaga dan Sumber Asli di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Ahli Jemaah Menteri yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sempena pelancaran GET hari ini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memberikan komitmen untuk melanggan GET bagi membekalkan 31 peratus keperluan bekalan elektrik di Wisma Sumber Asli daripada sumber TBB.

Selain itu sembilan syarikat korporat terkemuka yang telah menyatakan komitmen untuk melanggan GET bagi mendapatkan 100 peratus bekalan elektrik daripada sumber TBB turut menerima kad aku janji masing-masing pada majlis hari ini.

Syarikat korporat berkenaan termasuk CIMB Bank Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gamuda Berhad dan HSBC Amanah Malaysia Berhad.

Sementara itu Ketua Pegawai Runcit TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata pelanggan GET akan dapat menerima bil elektrik seperti biasa dengan jumlah langganan GET dicatatkan di dalam bil. -Bernama