Program Usahawan Siswazah PKNS catat nilai jualan RM11.4 juta tahun ini

SHAH ALAM: Program Usahawan Siswazah 2022 (GROW 2022) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tahun ini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM11.4 juta, peningkatan sebanyak 65.3 peratus berbanding jualan direkodkan pada 2019.

Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS Azilah Arshad berkata nilai jualan itu merupakan rekod tertinggi dicatatkan dalam tempoh 16 tahun, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006.

“Sebelum ini, jualan tertinggi dicatatkan ialah pada tahun 2019 adalah kira-kira RM7 juta manakala tahun ini walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kebanyakan industri sedang melaksanakan pelan pemulihan perniagaan, program berkenaan berjaya merekodkan jualan sekitar RM11 juta dan ini adalah rekod yang sangat memberangsangkan.

“Sepanjang penganjuran program ini, pelbagai pencapaian peserta turut direkodkan antaranya perkembangan perniagaan melalui peningkatan agen dan stokis, peningkatan peluang pekerjaan tetap dan separuh masa serta lonjakan jualan dengan margin keuntungan minimum sebanyak 15 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Azilah berkata GROW, program pembangunan dan bimbingan kepada usahawan siswazah diadakan selama enam bulan bermula Mei sehingga Oktober 2022 dan melibatkan sebanyak 30 orang peserta.

Lima peserta akhir dipilih untuk membentangkan pelan perniagaan (produk, strategi jualan dan prestasi perniagaan) kepada barisan juri profesional dalam sesi ‘pitching’ untuk merebut gelaran juara keseluruhan GROW 2022.

Azilah berkata pihaknya merancang untuk terus menganjurkan program berkenaan kerana ia terbukti mencatatkan peningkatan rekod jualan saban tahun dan sehingga kini, seramai 423 orang peserta telah mengikuti GROW dengan jumlah hasil jualan keseluruhan syarikat lebih RM47 juta dicatatkan dari tahun 2006.

“PKNS berharap inisiatif ini dapat membantu mengembangkan empayar usahawan sekali gus merancakkan ekosistem ekonomi di Selangor, ia akan memacu kitaran jual dan beli, justeru mengukuhkan ekonomi negeri.

“Kami juga berharap dengan penganjuran program ini, lebih ramai golongan muda lebih cakna mengenai pentingnya memulakan perniagaan dengan ilmu dan bimbingan,” katanya.

Program GROW 2022 menekankan kaedah pelaksanaan yang mengkhususkan kepada aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan serta individu dengan melibatkan pengambilan lepasan siswazah berumur 21 hingga 35 tahun yang mempunyai perniagaan sepenuh masa dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sepanjang tempoh enam bulan program berlangsung, para peserta diberikan bimbingan dan latihan meliputi 10 modul keusahawanan antaranya pengurusan strategik dan model perniagaan; pengurusan kewangan; jualan dan pemasaran secara konvensional dan digital; pembangunan produk dan eksport; pengurusan sumber manusia serta pensyarikatan.

Peserta pada tahun ini diberi peluang untuk menyertai Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2022 anjuran PKNS dan mereka berjaya mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM24,136 sepanjang dua hari ekspo berlangsung.-Bernama