PRU15: BN-GRS ada formula elak pertembungan kerusi

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai formula tersendiri yang dipersetujui kedua-dua gabungan parti itu, untuk mengelakkan sebarang pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata formula itu hanya akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut memberi jaminan, tidak akan berlaku pertembungan kerusi Parlimen antara kedua-dua parti pada pilihan raya berkenaan.

“Di mana BN bertanding, GRS tidak akan bertanding. Kita ada formula dipersetujui dan telah dicapai tetapi ia akan diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort, Sipitang di sini, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden Umno; Naib Pengerusi BN Datuk Arthur Kurup yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga berkata pengumuman calon BN dan GRS akan dibuat oleh Bung Moktar serta Hajiji, dalam masa terdekat.

Ditanya apakah senarai calon BN Sabah sudah dimuktamadkan, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengesahkan senarai calon bertanding pada PRU15 selepas mengadakan pertemuan rasmi dengan kepimpinan BN negeri dan GRS.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengingatkan jentera BN dan GRS supaya tidak mensabotaj calon daripada kedua-dua gabungan parti, ketika berkempen pada PRU15.

“GRS jangan sabotaj calon BN, BN jangan sabotaj calon GRS. Kita bekerja sebagai adik beradik untuk mengekalkan kestabilan di Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata solidariti antara BN-GRS menjadi elemen penting bagi meraih kemenangan pada PRU15, selain beliau juga berharap jalinan kerjasama gabungan parti itu, akan membawa kestabilan dan kemakmuran untuk Sabah serta rakyatnya pada masa akan datang. – Bernama