Rakyat Indonesia belanja AS$10.7b untuk dapatkan rawatan di luar negara, khususnya di Malaysia

JAKARTA: Rakyat Indonesia membelanjakan 165 trilion rupiah (AS$10.7 bilion) setahun untuk rawatan perubatan di luar negara, khususnya Malaysia, kata Presiden Joko Widodo (gambar).

Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata hampir satu juta pesakit Indonesia mengunjungi Malaysia untuk mendapatkan rawatan manakala kira-kira 750,000 lagi ke Singapura dan negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

“Patutkah kita membiarkan ia berterusan seperti ini?” soalnya ketika berucap pada majlis perasmian hospital swasta baharu di Bandung, Jawa Barat.

Justeru, kerajaan akan menyokong sepenuhnya pembinaan lebih banyak hospital bertaraf antarabangsa bagi mengelakkan negara kehilangan sejumlah besar pertukaran asing, katanya.

Menurut kenyataan Pejabat Sekretariat Kabinet, Jokowi menggesa kementerian kesihatan dan pendidikan untuk menyelesaikan masalah kekurangan doktor pakar bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan.

Peralatan perubatan mencukupi dan kemudahan fizikal yang sempurna menjadi faktor utama bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, katanya. -Bernama