Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam

PUTRAJAYA:Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

“Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

Menyentuh kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

“Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

“Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

Pendengaran bersambung 9 pagi esok. – Bernama