Ringgit ditutup rendah semula berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut semula daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila trend lemah unit tempatan itu berterusan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan turun sedikit berbanding dolar AS kepada 4.7155/7185 daripada paras penutup 4.7120/7165 pada Rabu.

Penganalisis pasaran ActivTrades Alexander Londono berkata kenaikan ringgit pada dua hari lepas adalah disebabkan oleh kelemahan dolar AS.

“Jangkaan inflasi masih tinggi di seluruh dunia terutamanya di pasaran sedang pesat membangun, oleh itu, dolar dijangka terus kekal kukuh untuk tempoh yang agak lama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3448/3472 daripada paras penutup 3.3454/3491 pada Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4516/4551 daripada 5.4523/4575.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding euro kepada 4.7334/7364 daripada 4.7243/7288 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2194/2219 daripada 3.2020/2052. – Bernama