Rosmah gagal gugurkan Sri Ram sebagai pendakwa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor(gambar) untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa permohonan untuk semakan kehakiman dibuat di bawah Aturan 53 Kaedah 3(6) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 yang mencabar surat pelantikan Sri Ram (fiat), perlu difail dalam tempoh tiga bulan dari tarikh apabila asas permohonan pertama kali dibangkitkan, atau semasa keputusan itu dinyatakan buat pertama kali oleh pemohon (Rosmah).

“Dalam permohonan semasa ini, pertuduhan dirujuk kepada pemohon pada 15 Nov 2018, dengan Sri Ram hadir sebagai TPR kes itu. Pada 8 April 2021, satu salinan fiat pertama telah dimaklumkan.

“Permohonan untuk semakan kehakiman ini hanya difailkan pada 24 Jun 2022. Ia jelas melebihi tempoh tiga bulan seperti yang ditetapkan di bawah Aturan 53 kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Terdapat kelewatan di pihak pemohon dalam mengisi permohonan semakan kehakiman,” kata hakim ketika menyampaikan penghakimannya melalui e-mel, hari ini.

Hakim seterusnya menambah bahawa tidak ada alasan material atau kukuh atau alasan tunggal yang kukuh diberikan oleh pemohon untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi memberikan lanjutan masa dalam menfail permohonan ini untuk kebenaran di bawah Aturan 53 Kaedah-kaedah 3(7) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Sehubungan itu bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Negara dan Sri Ram sebagai responden perlu dibenarkan. Tidak perlu untuk memberikan merit kepada permohonan itu.

“Sehubungan itu mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi mendengar permohonan semakan kehakiman. Permohonan untuk kebenaran meneruskan prosiding semakan kehakiman dengan ini ditolak,” katanya.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan terbaharunya, Rosmah memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat fiat bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Isteri bekas perdana menteri itu berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah selesai dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 1 Sept sebagai tarikh penghakiman mahkamah, sama ada untuk membebaskan atau mensabit Rosmah terhadap pertuduhan.-Bernama