Rumah dinaiki air hujan, penduduk bina ‘titi’ mudahkan urusan

PASIR MAS: Beberapa penduduk di sekitar Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, mengambil inisiatif membina titi ciptaan sendiri, selepas halaman rumah mereka mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Kamariah Latif, 83, berkata tujuan beliau mengambil inisiatif membina titi tersebut kerana menyedari kawasan rumahnya agak rendah, dan sering berdepan dengan banjir sehingga menyukarkan keluarganya untuk meredah air, apabila hendak melakukan sebarang urusan harian di pekan Rantau Panjang.

Katanya, titi itu dibina oleh cucunya secara bergotong-royong bahkan hampir 10 rumah lagi yang berada di sekitar kampung ini turut membina titi, bagi memudahkan mereka untuk merentasi air banjir.

“Kalau banjir yang tidak teruk, saya tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah menyediakan satu ruang tinggi di dalam rumah dan meletakkan barang-barang di situ.

“Namun, berdasarkan pengalaman tahun-tahun lalu, sekiranya kawasan halaman rumah ini mula digenangi air ia akan memakan masa yang agak lama untuk surut, jadi dengan adanya titi yang dibina ini sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan urusan harian saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

Selain itu, bagi Norizan Che Soh, 53, pula berkata keluarganya telah membina titi sejak Khamis lalu selepas hujan lebat yang berterusan menyebabkan kawasan halaman rumahnya digenangi air melebihi 0.5 meter.

Katanya, apabila Sungai Golok mula dinaiki air dan melimpah ke kawasan sekitar rumahnya, titi yang dibina setinggi 1.5 meter itu menjadi ‘penyelamat’ kepada keluarganya kerana dapat memudahkan beliau untuk membeli barangan dapur dan sebagainya.

“Air naik dengan agak cepat di perkarangan rumah berikutan hujan tidak henti sejak beberapa hari lalu, jadi suami saya Mohd Nawi Abdullah, 51, mula membina titi sepanjang sekitar 50 meter untuk menghubungkan rumah kami hingga ke jalan utama.

“Bekalan kayu untuk dijadikan titi ini dibeli pada bulan lepas dengan kos lebih kurang RM200 sebagai persediaan awal, kerana saya sekeluarga telah menjangkakan keadaan seperti ini akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, setakat 11 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Rantau Panjang, merekodkan paras amaran dengan bacaan masing-masing adalah 8.64 meter dan 8.61 meter. – Bernama