Saya tak pernah ragu Jho Low adalah penasihat Najib

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah meragui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib dan pihak atasan pengurusan 1MDB yang lain juga merujuk Jho Low sebagai ‘bos’.

“Semua pertemuan kami dengan 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (ketika itu ketua pegawai eksekutif 1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, (ketika itu ketua pegawai pelaburan 1MDB) dan Terence Geh (ketika itu timbalan ketua kewangan 1MDB pegawai) merujuk Jho Low sebagai ‘bos’ dan Datuk Seri Najib sebagai ‘bos besar’.

“Beliau (Jho Low) sangat berperanan dalam urusan mereka mengenai 1MDB dan bagi saya, saya percaya beliau adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat Datuk Seri Najib di pejabat 1MDB, tetapi saya telah melihat Jho Low. Saya percaya apabila Shahrol Azral dan Nik Faisal bercakap tentang urusan, mereka selalu merujuk semula kepada Jho Low. Jadi, saya tidak meragui Jho Low mewakili Datuk Seri Najib,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah diperkenalkan Jho Low pada 2007.

Yu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan Najib dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Semasa ditanya Ahmad Akram sama ada terdapat mana-mana individu yang memberitahunya bahawa Jho Low bukan penasihat Najib, Yu menjawab tiada.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata satu lagi komunikasi oleh Jho Low yang membuatkan beliau yakin ahli perniagaan itu mewakili Najib ialah mesej melalui BlackBerry Messenger (BBM) berhubung isu kad kredit AmBank bekas perdana menteri itu.

“Saya tidak mempunyai sebab untuk meraguinya (Jho Low), apabila beliau berkata (dalam mesej BBM) bahawa cek telah ditulis, apabila berkata kad kredit tidak boleh digunakan, ada transaksi ditolak, dan apabila berkata ada masuk dana ke akaun Datuk Seri Najib, saya tidak sangsi beliau mewakili Datuk Seri (Najib) apabila beliau berkomunikasi dengan saya.

“Saya tidak meragui Jho Low berhubung dengan Datuk Seri Najib, terutamanya mengenai kad kredit di Itali bahawa bank itu menolak transaksi tertentu, saya berasa amat terkilan kerana menolak transaksi kad kredit PM. Yang itu saya bimbang akan ada kesan dan saya percaya Jho Low berkomunikasi dengan Datuk Seri (Najib) dan beliau (Low) menerima arahan,” kata Yu.

Ditanya sebab beliau menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib dan tidak menyemak secara peribadi dengan Najib, Yu menjawab: “Ini juga kerana Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak fikir saya akan pergi atau menghubungi pejabatnya, itu bukan peringkat saya.”

Sementara itu, menjelaskan bagaimana akaun Najib sentiasa ditambah setiap kali pengeluaran berlebihan, Yu berkata akaun itu menerima dana di kaunter daripada dua individu dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie.

Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

Yu: Tidak. Setahu saya, mereka (Kee dan Josie) adalah orang Cina Malaysia.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 27 Feb. – Bernama