Serba Dinamik, tiga anak syarikat dapat penggantuangan sementara perintah penggulungan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) dan tiga anak syarikatnya untuk penggantungan sementara perintah penggulungan syarikat itu selepas gagal membayar jumlah hutang hampir RM5 bilion.

Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz, dalam membenarkan penggantungan sementara itu juga memerintahkan pelikuidasi interim yang dilantik sebelum ini dikekalkan hingga permohonan penggantungan penuh diputuskan.

Dalam prosiding melalui dalam talian, beliau menetapkan 6 Mac ini untuk mendengar permohonan penggantungan secara penuh perintah penggulungan dan keputusan pada 9 Mac ini.

Serba Dinamik dan anak syariktanya, selaku pemohon, diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz, LK Mak, Wong Ming Yen dan Sandra Tan.

Pada 10 Jan lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen yang difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung SDHB dan tiga anak syarikatnya iaitu Serba Dinamik Group Berhad (SDGB), Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB) and Serba Dinamik International Ltd (SDIL).

Enam institusi kewangan, selaku pempetisyen, ialah Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, AmBank Islamic Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Pada 30 Jan lalu, SDHB dan anak syarikatnya memfailkan permohonan untuk penggantungan sementara perintah penggulungan syarikat sementara menunggu kes rayuan diputuskan.

Dalam affidavit menyokong permohonan penggantungan, mereka berkata jika permohonan tidak dibenarkan, kontrak mereka akan ditamatkan dan tidak boleh dipulihkan serta akan mengalami kerugian yang tidak boleh diperbaiki. – Bernama