Seri Medan antara terjejas teruk di Batu Pahat

BATU PAHAT: Seri Medan, antara kawasan paling teruk terjejas di daerah ini, menjadi fokus misi menyelamat pasukan keselamatan selepas air sungai naik secara mendadak sejak tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata seramai 211 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi kini ditempatkan di kawasan itu susulan panggilan kecemasan diterima sejak malam tadi.

“Kita dimaklumkan ada penduduk terperangkap di kawasan Sri Medan berikutan ada kawasan yang naik sehingga paras dada dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita masih mengumpul data untuk mengetahui berapa sebenarnya yang terjejas ketika ini,“ katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Selain itu, Pasukan Polis Simpanan (FRU) bersama dua buah lori telah diarahkan ke tempat mangsa yang terperangkap untuk menyelamatkan mangsa, selain dibantu agensi-agensi lain.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan berita mengenai kira-kira 100 mangsa yang terperangkap di Parit Warijo, Sri Medan.

Ismail menjelaskan pihaknya telahpun mengarahkan penduduk di kawasan itu berpindah sejak semalam, tetapi masih ada segelintir yang memandang ringan perkara itu dan menganggap ia banjir biasa seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Saya nasihatkan supaya penduduk dengar arahan pihak berkuasa bila diarahkan berpindah, ini bagi keselamatan mereka sendiri.

“Kalau tidak, jadi seperti semalam, kita dah arahkan berpindah, tapi ada segelintir yang enggan, tapi hari ini, mereka telefon nak berpindah pula,“ katanya lagi.

Ismail berkata selain Sri Medan, Yong Peng dan Parit Sulong juga dilihat mengalami kenaikan air mendadak susulan air sungai yang turun dari Segamat.

Sementara itu, wartawan Bernama di sini, Kamarul Halim M Kamal turut menjadi mangsa banjir apabila rumahnya di Kampung Parit Sauh, Parit Sulong, dinaiki air malam tadi.

“Patutnya saya berpindah malam tadi, tapi sebab ketiadaan pusat pemindahan sementara (PPS), saya diarahkan berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung pagi ini,“ katanya yang bertungkus lumus membuat liputan banjir sejak Selasa lepas.

Bagaimanapun, Kamarul Halim berkata kekurangan petugas menyebabkan bantuan seperti khemah dan makanan belum pun diterima dan ketua kampung hanya memaklumkan bantuan akan tiba seawal 2 petang ini.

Dia berkata kali terakhir mengalami banjir teruk pada 2007 semasa bergelar pelajar tahun akhir di Universiti Putra Malaysia.

“Selalu buat liputan dan temuramah mangsa banjir, tak sangka sekarang saya pula yang jadi mangsa,“ katanya.

Tinjauan Bernama di Yong Peng mendapati air Sungai Bekok berhampiran Medan Selera Yong Peng dan Dataran Gemilang Yong Peng telah melimpah menyebabkan air naik di dua kawasan tersebut.

Sementara itu, ada kampung di sekitar Parit Yaani turut dinaiki air sehingga paras pinggang. – Bernama