Sidang Kemuncak peringatan akan tingkatkan lagi hubungan EU-ASEAN: Pakar Eropah

BRUSSELS: Sidang Kemuncak ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) akan menyediakan rangka kerja politik untuk hubungan yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua pihak, kata Pengarah Pusat Pembangunan, Pemulihan, Integrasi dan Keselamatan (DRIS), Pierre Grega.

Bercakap kepada Agensi Berita Vietnam (VNA) sempena sidang kemuncak peringatan ulang tahun ke-45 hubungan EU-ASEAN di Belgium, Grega menekankan mengenai hubungan kerjasama antara kedua-dua organisasi itu yang merangkumi pelbagai aspek.

Beliau berkata ia akan mengukuhkan orientasi rangka kerja strategik yang diterima pakai oleh kedua-dua pihak pada 2020 yang mentakrifkan hubungan antara kedua-dua organisasi serantau berdasarkan nilai dan prinsip bersama.

Kerjasama EU-ASEAN menyumbang kepada pengukuhan kestabilan politik global atas dasar saling menghormati, sekali gus menggalakkan hubungan perdagangan, katanya.

Bagaimanapun, kata beliau hubungan EU-ASEAN juga berhadapan cabaran dalam mengekalkan ketenteraman antarabangsa berdasarkan peraturan bersama dan multilateralisme yang diterima semua pihak.

Mengenai prospek kerjasama EU-ASEAN pada masa hadapan, Grega berkata hubungan EU-ASEAN akan menyokong semua negara anggota dalam skim peralihan ke arah pembangunan yang semakin mampan

Kerjasama itu akan menggalakkan pelaburan negara anggota dalam pengeluaran dan penggunaan mampan serta merangsang pembangunan ekonomi kitaran, terutama dalam tindakan global untuk melindungi alam sekitar.

Masa depan hubungan itu jelas berdasarkan pengukuhan kerjasama sedia ada, termasuk Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-EU (ASEAN-EU CATA) yang ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-28 di Indonesia pada Oktober tahun ini, katanya.-Bernama