Simpan 10,000 pil kuda, remaja ditahan

KOTA BHARU: Anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) berjaya merampas sebanyak 10,000 biji pil kuda, selepas menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di Kampung Gual Pasung Hantu dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan DSP K. Ramesh berkata suspek cuba melarikan diri ketika anggotanya ingin menghampirinya pada pukul 11.30 malam, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai lima bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi pil-pil kemerahan, dipercayai pil kuda berjumlah 10,000 biji.

“Jumlah keseluruhan nilaian rampasan termasuk sehelai baju adalah RM100,050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama