Sindiket dadah ‘Abang 888’ tumpas, dadah bernilai RM1.44 juta dirampas

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah ‘Abang 888’ dengan penahanan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas 40 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM1.44 juta dalam serbuan di sebuah inap desa di Pantai Puteri di sini pada 18 Nov lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata lelaki berumur 39 tahun yang memasuki negara ini sejak tiga tahun lepas untuk bekerja sebagai buruh itu ditahan dalam sebuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 8 malam.

Beliau berkata dadah berkenaan dibungkus menggunakan pembungkus teh bagi mengaburi pihak polis dan disimpan di dalam dua beg pakaian yang dibawa suspek ketika menginap di rumah berkenaan.

“Sindiket ‘Abang 888’ ini dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah rentas negeri dan daerah dengan menjadikan Melaka sebagai pusat transit sebelum dadah berkenaan dibawa keluar ke negara jiran menggunakan laluan air.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek dipercayai sedang menunggu ‘transporter’ atau pengangkut dipercayai dari Indonesia menggunakan bot untuk membawa keluar dadah tersebut,“ katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata ujian saringan urin yang dilakukan ke atas lelaki berkenaan mendapati negatif dadah dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Nov lepas bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, risikan dan pemantauan ke atas pergerakan sindiket ‘Abang 888’ telah dilakukan sejak tiga bulan lepas bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat dan mereka dipercayai aktif menggunakan Melaka sebagai pusat transit pengedaran dadah sejak sebulan lepas.

Abdul Majid berkata sindiket pengedaran dadah di Melaka dilihat menunjukkan trend perubahan kerana mereka kini menumpukan untuk merekrut warga asing sebagai ejen atau ‘keldai dadah’ berbanding warga tempatan.

Sementara itu, beliau berkata polis Melaka berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM13.16 juta dalam tempoh 1 Jan hingga 20 Nov berbanding RM487,283.35 sepanjang tahun lepas.

“Peningkatan rampasan dadah di Melaka bukan bermaksud aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah tidak dapat dikawal sebaliknya ia menunjukkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan dalam usaha membanteras aktiviti tersebut,“ katanya.

Beliau berkata pendekatan menangani aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah telah diubah dengan memberi fokus kepada pergerakan akar umbi serta meningkatkan risikan berbanding kaedah konvensional yang digunakan sebelum ini.-Bernama