Suami isteri antara tiga ditahan edar dadah

BATU PAHAT: Pasangan suami isteri antara tiga yang ditahan dipercayai terlibat pengedaran dadah di daerah ini dan Kluang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata pasangan terbabit ditahan di sebuah kediaman di Taman Utama, Yong Peng dekat sini, 7 malam, Isnin lepas.

Beliau berkata hasil serbuan polis menemukan dadah jenis methaphetamine seberat 311.45 gram dan pil eramin 5 dengan anggaran berat 16.77 gram.

Katanya susulan tangkapan berkenaan, polis menahan seorang lagi lelaki di depan sebuah rumah kedai di Taman Kota, Yong Peng kira-kira 6 petang, keesokkannya.

“Polis merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.8 kilogram (kg) yang disimpan dalam satu beg plastik dan 4.05 kg dadah sama hasil pemeriksaan di rumah kedai berkenaan,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Ismail berkata keseluruhan dadah dianggarkan seberat 5.9 kg itu bernilai RM212,045 dan boleh digunakan 7,000 penagih.

Turut dirampas wang tunai RM240,000 dan dua kereta serta sebuah motosikal.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek berusia 45 hingga 50 tahun itu ditahan reman hingga Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kes berlainan, beliau berkata seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kerana memiliki 530 milimeter air ketum, 216 gram daun ketum dan pelbagai jenis mercun bernilai RM20,000 di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, semalam. – Bernama