Suasana hiba iringi jasad mendiang Samy Vellu selamat disemadikan

KUALA LUMPUR: Jasad bekas Presiden MIC, Tun Dr S. Samy Vellu, yang meninggal dunia semalam, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, dekat sini, pada kira-kira jam 5.30 petang ini.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa menaiki van dari kediamannya di Jalan Ipoh, bermula jam 3.30 petang dan singgah sebentar di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum tiba di krematorium pada jam 4.28 petang.

Suasana hiba menyelubungi upacara selama sejam di krematorium itu yang dihadiri kira-kira 300 orang antaranya ahli keluarga, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran, Ketua Puteri MIC, R. Shaliny, penyanyi tersohor Datuk Dj Dave dan penulis lirik terkenal dari India, R. Vairamuthu.

Mendiang meninggalkan isteri Toh Puan R. Indrani dan seorang anak perempuam, S. Mangayarkarasi dan anak lelaki, Datuk Seri S. Vell Paari.

Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac, 1936, meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun.

Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 merupakan antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Vigneswaran, yang kelihatan sebak ,menyifatkan mendiang Samy Vellu sebagai seorang ayah dalam kepimpinan parti itu yang tiada galang gantinya.

“Mendiang telah mendidik kami sejak menjadi anggota Pemuda lagi untuk mengambil alih pimpinan parti dan perjuangan parti demi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri upacara itu.

Vigneswaran juga berkongsi sifat kepimpinan bekas Menteri Kerja Raya itu yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan tidak mementingkan diri sendiri malah mendiang adalah seorang insan istimewa.

Dalam pada itu, beliau berkata satu program yang akan disertai oleh lebih 20,000 orang dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan penghormatan kepada mendiang.-Bernama