Subsidi rakyat tidak dimansuh, sebaliknya pemberian bertambah: Annuar

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelaskan, kerajaan tidak menarik balik subsidi yang diberikan kepada rakyat, malah meningkatkan lagi pemberiannya bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Menurutnya kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat, sehingga telah menampung sejumlah RM43 bilion subsidi untuk pelbagai perkara.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab tentang komunikasi, saya nak nafikan sekeras-kerasnya, tidak pernah ada keputusan untuk menarik balik segala subsidi pada 31 Julai seperti didakwa. Ini adalah fitnah sangat besar dan sama sekali tidak benar dengan apa yang kerajaan telah putuskan.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri buat keputusan jitu iaitu dasar membantu rakyat melalui subsidi dikekalkan, malah jumlah subsidi ditingkatkan, selain subsidi lama yang masih berjalan sedang dikaji agar pelaksanaannya lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sebuah video di laman Tik Tok yang mendakwa kerajaan akan menarik balik semua subsidi pada 31 Julai ini, sehingga mengakibatkan rakyat melakukan pembelian panik.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini, bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram (kg).

Perdana Menteri berkata program subsidi yang telah bermula sejak Jun 2007 itu, merupakan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.

Annuar berkata walaupun media sosial mempunyai akses kebebasan dalam menyalurkan sebarang maklumat dan pandangan, namun ia harus disertai dengan sikap tanggungjawab dan tidak disalah guna untuk tujuan tidak baik.

Beliau berkata peluang kebebasan itu haruslah digunakan sebaik mungkin untuk tujuan positif, memberi pandangan dan teguran berfakta, sekaligus tidak menyebarkan berita palsu yang memudaratkan rakyat.

“Namun orang ramai perlu sedar bahawa menyebar berita palsu itu satu kesalahan dan ada undang-undang yang mengawalnya, dan mereka yang sengaja berbuat demikian boleh disabitkan dengan tindakan tertentu,” katanya.

Annuar menjelaskan terdapat tiga kategori penyebaran berita palsu iaitu melibatkan sumber berita separa benar yang telah dijadikan ‘dramatise’ seperti format berita sebenar sehingga dianggap seperti benar, sumber yang mempunyai ‘ulterior motive’ iaitu berniat untuk menyebarkan fitnah serta sumber netizen yang mempuyai kurang kefahaman. – Bernama