Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Aidilfitri k’jaan Perak

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (gambar) berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 3.10 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri dan beberapa orang kenamaan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Seramai kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum menghadiri majlis itu bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan seperti ketupat, lemang, rendang, ayam golek dan minuman.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata kehadiran rakyat berbilang kaum pada majlis itu sekali lagi menjelmakan kekuatan dan keunikan rakyat Malaysia, khususnya di Perak, yang sentiasa bermuafakat membina kesentosaan di sebalik kerencaman budaya, kaum dan agama.

“Ia sewajarnya diinsafi bahawa kerukunan hubungan kaum yang dipertahankan sejak era pramerdeka sudah mula luntur sedikit demi sedikit sejak kebelakangan ini, apabila wujudnya pelbagai dakyah yang sengaja direkayasa bagi menimbulkan sentimen kebencian dan permusuhan,“ katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat Perak memacak azam jitu untuk menyuburkan kembali semangat kebersamaan dengan mempertahankan keamanan, menyemarakkan obor perpaduan dan bahu-membahu menolak perpecahan.

“Saya mengajak kita semua untuk sentiasa menjunjung titah hasrat Paduka Seri Tuanku supaya keharmonian rakyat berbilang kaum sentiasa dipertahankan daripada percikan api perkauman serta memelihara negeri dan negara tercinta ini daripada bahana persengketaan,“ katanya. – Bernama