Syarikat Belanda, Australia suarakan minat melabur di Johor: Onn Hafiz

PONTIAN: Beberapa syarikat berpangkalan di Belanda dan Australia berminat untuk melabur dalam pelbagai bidang di Johor atas keyakinan terhadap potensi serta pencapaian yang diraih negeri ini sepanjang 2022.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata minat tersebut disuarakan menerusi pertemuannya dengan delegasi dari kedua-dua negara itu semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke Singapura.

“Di Singapura, kita banyak berjumpa dengan delegasi yang berminat untuk melabur di Johor dan maklum balas yang kita terima daripada mereka sangat memberangsangkan, dengan Belanda akan membuka perniagaan mereka di sini dan Australia pula melibatkan pusat data, ini membuatkan kita sangat teruja.

“Ini kerana pada tahun lepas, sehingga suku ketiga, Johor mencatatkan pelaburan bernilai RM63.9 bilion, (justeru) potensi Johor memang cukup besar dan kita di peringkat negeri akan terus meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan tangki simpanan bitumen di ATB Tanjung Bin, Pusat Petroleum Tanjung Bin, di sini pada Rabu.

Beliau berkata peningkatan kadar efisien dalam menarik pelabur adalah sangat penting, sekali gus memastikan peningkatan pendapatan untuk negeri selain menambah peluang pekerjaan yang berkualiti bagi rakyat Malaysia khususnya penduduk Johor.

Onn Hafiz juga berkata kerajaan negeri optimis untuk mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama negara selain percaya nilai pelaburan RM63.9 bilion yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September 2022, mampu dicapai tahun ini.

Selepas Singapura, kerajaan negeri bercadang mengadakan lawatan rasmi ke Belanda dan China dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai peluang pelaburan di Johor sekali gus menarik pelabur dan syarikat antarabangsa.

“Ketika di Singapura, pelabur memuji keupayaan Johor menerusi Invest Johor selain Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah membantu mempercepat proses dokumen untuk melabur di Johor,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pecah tanah pembangunan projek fasa tiga tambahan yang bernilai RM260 juta itu yang dijangka menggalakkan lagi pengembangan sektor berkenaan di rantau ini.

Pusat Perindustrian Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin yang dibangunkan pelabur antarabangsa termasuk dari Belanda dengan modal RM2.4 bilion sejak 2012 itu disasarkan dapat mentransformasikan selatan Johor menjadi hab minyak dan gas. –Bernama