Syarikat, pengarah mengaku bersalah jual kelengkapan komunikasi tidak diperakui

PETALING JAYA: Sebuah syarikat dan pengarahnya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Syarikat LC Marketing Network Media Sdn Bhd dan pengarahnya, Chen Kaiyi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 April ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

LC Marketing Network dan Chen didakwa memiliki dan menjual dua unit pemain media tanpa wayar jenama TX3 model TX3 mini-L serta TX6 model TX6-H yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) dan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

OKS didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di KS-01, Digital Mall, Seksyen 14 di sini, pada 12.57 tengah hari, 26 Jun 2020 dan pada 11 pagi, 14 Mei 2021.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa dari MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS diwakili peguam Jay Moy Wei Juin.