Terengganu jamin tiada masalah sampah pada Aidiladha

KUALA NERUS: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah lambakan sampah yang sering menjadi rungutan orang ramai di daerah Kuala Terengganu tidak akan berlaku lagi pada hari raya Aidiladha kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata selain kontraktor lantikan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), kerajaan negeri turut menerima pelawaan dari Alam Flora Sdn Bhd yang mahu menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka di Terengganu pada musim perayaan ini.

“Bermula hari ini, Alam Flora akan melaksanakan CSR itu dengan menggerakkan beberapa aset seperti lori dan pekerja. Buat permulaan hanya di daerah Kuala Terengganu sahaja kerana daerah lain tidak timbul isu sampah,“ katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis penghayatan Arafah di sini, hari ini.

Pelaksanaan CSR itu adalah susulan pertemuan wakil Alam Flora dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Dr Alias dan kepimpinan kerajaan Terengganu berhubung pengurusan sampah baru-baru ini.

Beliau berkata Alam Flora turut menawarkan konsesi pengurusan sampah di Terengganu sebagaimana amalan di beberapa negeri lain, namun perkara itu masih dalam pertimbangan.

“Sekiranya Alam Flora berjaya menambah baik pengurusan sampah dalam tempoh CSR ini, kita akan pertimbangkan kemungkinan itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,“ katanya.-Bernama