Teruskan projek Mara Digital: PM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah diarah meneruskan projek Mara Digital bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera membabitkan diri sebagai usahawan teknologi maklumat (IT) yang merupakan trend terkini dan masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa Mara Digital telah diwujudkan iaitu di Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Ipoh, Perak selain beberapa lagi lokasi yang dikenal pasti termasuk Larkin, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Mara Digital telah ditutup dan projek baharu tidak diteruskan.

“Mara Digital sangat dekat di hati saya. Saya yang wujudkan bagi membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang IT dan gajet sama ada menjual produk, membaiki (peralatan rosak) dan lain-lain,“ katanya dalam catatan di laman Facebook malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri melakukan tinjauan mengejut di Mara Digital Kuala Lumpur yang turut disertai Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Alhamdulillah dalam tinjauan, peniaga memaklumkan masih mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat, cuma (mereka) memerlukan sokongan daripada Mara seperti promosi, bantuan pinjaman, pengurangan kadar sewa dan lain-lain,“ katanya.

Pembukaan Mara Digital sebagai pusat jualan peralatan telekomunikasi dan IT pada 2015 dicetuskan oleh Ismail Sabri yang pada ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. – Bernama