TH, bank perantara disaran perketat syarat pengeluaran, simpanan: Rais

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dan bank perantara disarankan agar meningkatkan aspek keselamatan urusan perbankan dalam talian, selain memperketat syarat pengeluaran wang secara dalam talian.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu seperti yang dilaksanakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera.

Beliau berkata perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH yang dipengerusikannya hari ini.

Katanya mesyuarat itu menerima maklumat daripada TH bahawa kerugian angkara penipuan dalam talian (scammer) setakat ini melibatkan RM1,961,430 menerusi pelbagai institusi perbankan.

“Mesyuarat juga memutuskan supaya pihak bank perantara menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya berkaitan TH agar masalah itu dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa ini juga akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya

Rais berkata mesyuarat itu diadakan atas rasa tanggungjawab Dewan Negara khasnya jawatankuasa tersebut terhadap aduan penipuan dalam talian oleh masyarakat khususnya yang berkaitan TH.

Katanya turut dicadangkan agar tanggungjawab harus diambil pihak bank yang menjadi perantara dalam urusan TH kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui TH itu sendiri.

“Oleh itu, pihak bank yang bertanggungjawab wajib menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi sekiranya syarat-syarat pengawasan perakaunan bank tersebut telah dibolosi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rais berkata mesyuarat juga mencadangkan supaya pendeposit TH membuat pilihan mengenai urusan simpanan dan pengeluaran sama ada dibuat secara manual atau dalam talian.

Pada masa sama, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat turut diminta untuk terus aktif mengusulkan perkara berkaitan kepentingan rakyat khasnya berhubung simpanan rakyat di TH.

Selain itu, mesyuarat mencadangkan agar media dan TH memperhebat kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.

“(Mesyuarat) memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan (dan) aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insurans perbankan itu sendiri.

“Oleh itu, isu kehilangan wang simpanan pendeposit di bank yang terbabit melalui aktiviti penipuan dalam talian didapati oleh jawatankuasa sebagai tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka,” katanya.

Antara ahli jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat itu ialah pengerusinya, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi, manakala pengurusan TH diwakili antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Operasi Mohamed Ameen Abdul Wahab. –Bernama